Pages

Friday 25 July 2014

Sedapnya Laici Kang

Sedapnyaa laici kang ni walaupun tak cukup bahan tapi kira ok la yum yum..


Bahan-bahan yang sepatutnya ada dalam bancuhan laicikang adalah :

laici dalam tin
nenas dalam tin
biji sago hijau dan merah
buah kabung
biji selasih
cincau 
kacang masin
halwa buah pala
candy gula
kismis
barli
buah kembang semangkuk
snow fungus
buah longan tin
nata de coco

bahan-bahan sirap :

air gula putih
air sirap dari laici , longan dan nenas tin

saya dapat cari sikit saja bahan-bahan untuk laici kang ni tapi tetap sedap bila dibancuh bersama , alhamdulillah ^_^


Wednesday 23 July 2014

Lasagna , hidangan berbuka puasa

Sekali-sekala saya masak menu berbuka puasa ikut selera anak-anak , senyum meleret anak-anak saya bila tengok lasagna yang dihidangkan di atas meja , alhamdulillah untuk rezeki kami .

Dah banyak kali juga saya masukkan post resepi lasagna ni cuma kali ni saya masak sendiri sos bolognese dan tak guna sos bolognese dalam tin Prego . Lebih berkhasiat jika buat sendiri sos bolognese ni sebab kita guna bahan segar . Saya gandingkan lasagna ni dengan mix salad simple , alhamdulillah .


BAHAN UTAMA :

1 kotak instant lasagna - boleh tambah

BAHAN-BAHAN UTK SOS BOLOGNESE:

1 kg buah tomato masak ranum
2 peket daging cincang
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
minyak zaiton - utk menumis
1 sudu kecil herba oregano
5 helai daun bay
1 sudu kecil herba thyme
Garam secukup rasa

CARA MASAK SOS BOLOGNESE :

Kupas semua bawang dan cincang halus , kemudian potong kecil semua buah tomato . Panaskan minyak zaitun di dalam periuk  dan tumis semua bawang tadi dan kacau sampai layu. Masukkan pula semua buah tomato dan dikacau . Biarkan buah tomato masak dan menjadi puri .

Kemudian masukkan daging cincang . Lerai-leraikan daging cincang sehingga menjadi ketulan kecil . Masak daging cincang sampai masak dan boleh la dimasukkan herba oregano dan kacau sampai daging masak , tambah garam jika sos kurang masin . Masak sehingga sos menjadi pekat .


BAHAN UNTUK SOS BACHAMEL :
3 sudu besar tepung gandum
4 sudu besar butter
2 sudu besar minyak sayur
1 kotak 250ml cooking cream
800 ml susu full cream dlm kotak
1/2 cawan parutan keju parmesan atau chedder secukupnya
Sedikit black pepper
Garam secukup rasa

CARA MASAK SOS BECHAMEL:
Panaskan butter bersama minyak zaitun , guna api sederhana besar atau kecil . Masukkan tepung serta kacau sehingga tepung masak kekuningan sentiasa kacau adunan tepung ni supaya tidak hangit . Masukkan semua susu dan terus kacau sehingga sebati kemudian boleh la dimasukkan parutan cheese cheddar dan serbuk black pepper. Biarkan kuah mendidih dan masak , terus kacau kuah sehingga masak dan menjadi pekat kalau tak cukup masin baru ditambah garam . Kuah bechamel akan jadi pekat bila dah dimasak .Boleh ditutup api dapur.

CARA MASAK LASAGNA :

Susun lapisan pertama kepingan lasagna dalam tray/baking dish yang sesuai kemudian masukkan sedikit demi sedikit sos bolognese dan curah sos bechamel serta tabur cheese . Ulang semula susun kepingan lasagna , curah sos dan tabur cheese  buat begini sampai ke lapisan paling atas atau sampai habis bahan. 

Curah sos bechamel dengan banyak sampai banjir menutupi pemukaan lasagna paling atas kalau kuah bechamel tak cukup ruang saja susu supaya betul-betul banjir . Sos bechamel akan bercampur dengan sos bolognese meresap dengan sempurna dalam kepingan lasagna . Kuah bechamel dan sos bolognese yang mendidih masa proses masak dalam oven yang akan masak kepingan lasagna ni nanti .

A - susun kepingan lasagna 
B - lapis sos bolognese - banyak
C - lapis sos bechamel - banyak
D - tabur cheese - ikut pada selera sendiri

* Ulang susunan seperti di atas A , B C dan D . Buat sampai habis semua bahan - bahan .


Lasagna yang dah ready untuk dimasuk ke dalam oven , ikut pada kita nak tabur banyak mana parutan cheese monzarella  , parmesan dan cheedar ni . Kalau suka makan cheese tabur la banyak-banyak macam saya punya ni hihi . Saya tuang kuah bechamel dan sos bolognese banyak-banyak biar banjir so kepingan lasagna akan masak dengan elok jadi lembut .

Monday 21 July 2014

Pajeri nenas


BAHAN-BAHAN :

1 kg buah nenas masak ranum 
4 cawan santan - boleh tambah atau kurang
1 genggam udang kering
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2 cm halia
3 cm kayu manis
1 biji bunga lawang
3 biji bunga cengkih
1 peket serbuk kari daging
2-3 camca besar kerisik
gula dan garam secukup rasa

CARA MEMASAK :

Bersihkan nenas dan potong ikut saiz yang sesuai . Basuh udang kering dan di tumbuk hancur jangan sampai lumat .

Panaskan sedikit minyak dan tumiskan semua bawang + halia , kulit kayu manis , bunga lawang dan bunga cengkih . Kacau semua bahan dan masukkan udang kering . Kacau sampai bawang menjadi layu dan terus di masukkan rempah kari yg sudah di bancuh dengan sedikit air tadi dan kacau , biar sampai rempah masak dan terbit minyak.

Masukan semua santan dan kacau , biar kuah mendidih sekejap kemudian masukkan kerisik dan buah nenas . Masukkan garam dan gula secukup rasa dan terus kacau pajeri ini . Biarkan sampai nenas empuk , itu tanda pajeri sudah masak dan boleh la ditutup api . Dah pun masak....

Saturday 19 July 2014

Asam pedas ikan parang



BAHAN-BAHAN:

1 kilo ikan parang segar
2-3 cawan air
2 batang serai
2 bunga kantan- dibelah dua
Asam jawa secukup rasa atau asam keping
Segenggam daun kesum/ 1 ikat
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN DI BLEND:

15 biji cili kering - direbus supaya menjadi lembut
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci lengkuas
2 inci halia
3 cm belacan

*Jika suka lebih kuah masukkan lebih air dan kalau nak lagi pedas tambah la cili lagi.
CARA MEMASAK:
Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan diblend sehingga naik bau.Kacau sehingga sambal menjadi masak dan pecah minyak.Kemudian masukkan serai dan kacau lagi.
Seterusnya masukkan air , daun kesum, asam keping dan bunga kantan. Kacau semua bahan dan biarkan kuah hampir mendidih.


Masukkan ikan parang , asam keping , garam dan gula . Kemudian kacau supaya semua bahan menjadi mesra. Jangan kacau terlalu laju dan kuat nanti ikan parang boleh pecah.

Biar kuah mendidih untuk 3-5 minit lagi dan boleh la dimatikan api dapur .Tutup periuk dengan penutup, ini adalah untuk membiarkan ikan parang terus masak di dalam wap panas kuah.

Thursday 17 July 2014

Ayam panggang , salad dan kentang putar

Alhamdulillah , simple saja menu berbuka puasa kami ni..


BAHAN-BAHAN :

1 ekor ayam - dipotong ikut kesesuaian
1 sudu kecil serbuk lada hitam -ditumbuk luma
4 sudu besar kicap manis Kipas udang - secukupnya
2 sudu besar olive oil
Garam secukup rasa

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

2 inci halia
5 biji bawang merah 
6 ulas bawang putih 

CARA MASAK :

Ayam dibersihkan dan dipotong serta dikelar-kelar kemudian ayam digaul rata dengan bahan ditumbuk , lada hitam , kicap manis , garam secukupnya dan sedikit minyak zaitun dan perap selama 6 jam , simpan dalam peti sejuk dulu . Resepi ini boleh dikurang atau ditambah bahannya ikut pada kesesuaian selera kita dan kalau ayam besar kuantiti bahan pun kena ditambah .

Panaskan grill pan dan masukkan butter dengan minyak zaiton secukupnya . Bila grill pan dah panas boleh la di letakkan ayam dalam grill pan ni . Tutup grill pan selepas 15 minit pusingkan ayam serta tutup semula grill pan ni , balik-balikkan ayam supaya semua bahagian ayam masak dengan sempurna . Bila ayam dah masak boleh la dibawa keluar dari grill dan dihidang dengan sos black paper serta side dish lain seperti salad dan mash potatoes .


KENTANG PUTAR


BAHAN-BAHAN :

7 biji ubi kentang russet 
6 sudu besar butter - boleh tambah
500ml susu penuh krim dlm kotak - blh ditambah
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :

Ubi kentang dibasuh bersih dan dikupas kulit kemudian direbus sampai empuk . Bila dah empuk tos ubi kentang sampai tiada air rebusan dalam periuk kemudian lenyek semua ubi kentang sehingga hancur . Masukkan semua butter , masukkan sedikit demi sedikit susu ke dalam adunan kentang lenyek ni sampai sebati dan ubi kentang ni mudah digaul tidak terlalu kental . Masukkan garam secukup rasa serta kacau jika ubi kentang agak kental boleh la dimasukkan sedikit lagi susu sehingga ubi kentang menjadi mudah hendak dikacau tapi jangan terlebih masuk susu nanti mash potatoes ni jadi cair pulak . Tambah atau kurang bahan ikut selera sendiri .

Grill salmon , salad dan pasta

Sekali-sekala tukar menu buka puasa , alhamdulillah . Ikan salmon ni saya grill biasa saja tanpa diperap dengan apa-apa sos atau herba tapi bila nak makan boleh juga diperah sedikit jus lemon ke atas ikan salmon ni dan untuk salad saya hanya guna salad dressing/sos thousand island yang dibeli dari kedai sahaja .

Boleh juga di buat sos sendiri utk ikan dan salad , di sini saya bagi 2 cara nak buat sos . Sos/dressing salad ni boleh dicurahkan ke atas ikan atau salad .

SOS 1 :

2 sudu minyak olive/zaitun
jus lemon secukupnya
serbuk lada hitam secukupnya
garam dan gula secukup rasa

SOS 2 :

2 sudu minyak olive
cuka balsamic secukupnya
sedikit serbuk lada hitam
sebiji bawang putih - diracik
sedikit bawang merah - diracik
garam dan gula secukup rasa



BAHAN-BAHAN GRILL SALMON :

4 keping isi ikan salmon
serbuk lada hitam dan garam secukupnya

CARA MASAK :

Bersihkan ikan salmon dan tos kemudian digaul serbuk lada hitam dan garam secukupnya . Panaskan grill pan dan tuangkan minyak zaitun secukupnya untuk proses grill . Bila grill pan dah panas boleh la diletakkan isi ikan salmon ni serta perlahan kan api serta tutup grill pan . Selepas 5 minit boleh dibuka penutup grill pan dan terbalikkan isi ikan salmon ni .

Perlahan kan api dapur dan pastikan kedua belah isi ikan masak dan tidak over cooked sebab isi ikan salmon akan jadi kering dan tidak sedap nak di makan . Tutup api dapur dan boleh la dihidangkan ikan salmon ni dengan salad .

PASTA GORENG SIMPLE 

1 peket pasta
1 peket sosej ayamas
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
sedikit kiub ayam
1 sudu kecil italian mix herbs
serbuk lada hitam dan garam secukup rasa
sedikit minyak olive utk menumis

CARA MEMASAK:


1) Rebus pasta sampai lembut dan tos sekejap . Semasa merebus masukkan satu sudu kecil minyak ke dalam air rebusan pasta , supaya pasta tidak melekat antara satu sama lain . Panas kan sedikit minyak dan tumiskan semua bawang sehingga wangi dan layu . Kemudian masukkan sosej dan digoreng sampai masak . 

3) Masukkan semua pasta , herba italian mix dan sedikit kiub ayam , serbuk lada hitam secukupnya dan terus kacau supaya pasta bercampur mesra dengan bahan-bahan lain . Akhir sekali boleh ditambahkan garam secukup rasa . Terus kacau pasta ni dan bila dah masak boleh la ditutup api . Boleh dihidang pasta dengan serbuk keju parmesan .


MIX SALAD SIMPLE


BAHAN-BAHAN :

1/2 biji iceberg lettuce
1-2 biji buah avacado
2 biji buah tomato
1 biji timun Jepun
sedikit mulberi - optional
sos thousand island

CARA PENYEDIAAN :

Bersihkan semua sayur dan dipotong kecil . Semua bahan dimasukkan dalam sebuah mangkuk yang sesuai dan boleh dihidangkan dgn sos thousand island . 

Tuesday 15 July 2014

Masak lemak labu

Alhamdulillah mmg sedap betul buah labu yang dimasak lemak . Makan nasi suam-suam dgn masak lemak labu ni dan dengan ikan masin sepat mmmm sodap laa mesti tambah nasi laaa..


BAHAN-BAHAN :

900grm labu
1 liter santan cair - kalau kurang boleh tambah
300 ml pati santan - blh tambah
1 biji bawang merah - saiz besar
1 ulas bawang putih - saiz besar
2 cm kunyit hidup
1 genggam ikan bilis - rendam sekejap
1 batang serai saiz besar - dititik
1 helai daun kunyit - disiat
Garam secukup rasa


CARA MEMASAK :

1. Bersihkan bawang merah , kunyit hidup dan putih kemudian ditumbuk . Bersihkan labu dan buang kulit kemudian dipotong menjadi ketulan kecil dan masukkan dalam periuk kemudian masukkan bahan ditumbuk ke dalam periuk bersama santan cair , ikan bilis, daun kunyit , serai dan garam . Gaul semua bahan dan masak sampai kuah santan mendidih dan labu separuh masak .


2 . Tambah pati santan dan garam secukup rasa . Biarkan labu masak dan menjadi empuk tapi tidak lembik . Bila dah masak boleh la ditutup api dapur.

Wednesday 9 July 2014

Rendang keladi lambuk & cendawan tiram

Rendang lambuk campur cendawan dan udang ni memang sangat-sangat sedap . Saya belajar masak rendang lambuk ni dengan mak saya so resepi masakan ni kiranya resepi turun-temurun , insyallah akan saya ajar anak-anak masak rendang lambuk ni sebab anak-anak saya pun suka makan . 

Ikut resepi asal guna cendawan kukur tapi sekarang ni memang susah betul nak jumpa cendawan kukur so mak saya ganti guna cendawan biasa saja . Batang keladi lambuk ni adalah jenis yang besar serta tak miang dan bukan macam jenis batang keladi biasa yang diguna untuk masak asam rebus . Alhamdulillah sedap sungguh rendang lambuk ni , favorite kami sekeluarga..


BAHAN-BAHAN :

1 batang keladi lambuk - anggaran panjang dlm 1.5 kaki
1 peket cendawan
25 ekor udang 
1 helai daun kunyit
1 cawan santan - secukupnya
1 keping asam keping
sedikit minyak untuk menumis


BAHAN DITUMBUK LUMAT :

10 biji cili api 
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 cm kunyit hidup
1 batang serai - diracik
Garam kasar secukup rasa


CARA MEMASAK :

Basuh dan bersihkan batang keladi lambuk kemudian disiat kulit luar dan di potong nipis menyerong . Bersihkan cendawan dan disiat kemudian bersihkan udang dan ditos serta diketepikan dulu . 

Bersih dan kupas semua kulit bawang kemudian tumbuk lumat bawang bersama cili api , serai , kunyit hidup dan garam kasar .

Panaskan dalam 2-3 sudu besar minyak dan tumis bahan tumbuk sampai wangi dan terus masukkan santan dan kacau biar sampai hampir mendidih dan masukkan semua keladi lambuk tadi dan kacau biar sampai keladi masak . Masukkan semua udang dan daun kunyit yang diracik serta asam keping tadi dan kacau semua bahan

Boleh dimasukkan garam secukup rasa dan kacau semua bahan sehingga sekata dan biar sampai udang dan masukkan semua cendawan . Kacau lagi dan bila cendawan dah masak boleh la ditutup api dapur serta dihidangkan rendang lambuk ni .

Monday 7 July 2014

Sambal tumis terung & petai & ikan bilis

Alhamdulillah..


BAHAN-BAHAN :-

1 biji terung panjang - saiz besar
1 cawan ikan bilis
3 papan petai - boleh tambah
1 biji bawang besar - dipotong kecil-kecil membulat
10 sudu besar cili kisar - boleh tambah
Air asam jawa secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN DITUMBUK LUMAT :-

1 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 inci belacan

CARA MEMASAK :-

- Bersihkan ikan bilis dan ditos . Ambil buah petai dan di potong 2 . Panaskan 4 sudu besar minyak secukupnya dalam kuali . Masukkan bahan-bahan yang telah ditumbuk dan kacau sampai layu kemudian masukkan cili kisar secukupnya . Kacau semua bahan dan biarkan sambal menjadi masak serta pecah minyak . Jika sambal nampak kering boleh ditambah minyak masak lagi .

- Masukkan bawang besar dan dikacau sekali sekala , biar bawang masak layu . Masukkan semua ikan bilis dan petai , kacau semua bahan . Biar ikan bilis masak serta sebati dengan kuah sambal . Kemudian boleh la di asukkan air asam jawa secukupnya kemudian terus kacau sambal . 

- Masukkan semua petai yang sudah dipotong kecil dan kacau semua bahan sampai sekata jika sambal nampak kering boleh ditambah sedikit minyak masak . Rasa sambal jika kurang masin boleh ditambah garam . Selalunya saya akan masukkan 1 sudu kecil gula dalam sambal ni untuk bagi seimbang dgn rasa pedas .

- Bila terung dah masak boleh la ditutup api dapur . Tambah atau kurang bahan ikut selera sendiri .

Friday 4 July 2014

Masak ungkep ayam tua

First time saya makan ayam ungkep masa di Muar , Johor . Sekali makan terus saya suka lauk ayam ungkep ni sebab rasanya yang sangat sedap . Resepi ayam ungkep yang asli tak guna santan tapi saya tambah sedikit santan dan saya guna sedikit air asam jawa . Saya guna ayam tua atau ayam pencen bertelor untuk masak ayam ungkep ni so proses masak adalah lebih lama sebab nak bagi isi ayam betul-betul empuk lembut .

Masa tengah masak semerbak wangi bau ayam ungkep ni , terima kasih Amie`s Little Kitchen yang berkongsi resepi ayam ungkep ni ^_^


BAHAN-BAHAN:
1 kg ayam tua
2 batang serai  - dititik
5 cawan air - secukupnya
garam/gula secukupnya
sedikit air asam jawa - secukupnya
minyak untuk menumis

BAHAN DIKISAR LUMAT:
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
15 biji cili api
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk ketumbar
3 cm halia
3 cm kunyit hidup

CARA-CARA MEMASAK :
Bersihkan ayam dan tos ketepikan dulu . Panaskan anggaran 2-3 sudu besar minyak dan tumis bahan dikisar dan biarkan sampai bau wangi serta terbit minyak .

Masukkan serai dan ayam , kacau semua bahan dan biarkan sampai isi ayam berubah warna . Masukkan air secukupnya serta garam dan gula . Kacau semua bahan dan tutup kuali , sekali-sekala kacau ayam supaya ayam tidak menjadi terlalu kering atau hangit .  Jika isi ayam masih liat boleh ditambah air dan terus masak sehingga kuah menjadi sedikit . Bila isi ayam dah menjadi empuk boleh la dirasa dan jika kurang masin boleh ditambah sedikit garam . Bila isi ayam dah lembut boleh la ditutup api dapur dan dihidang .

Thursday 3 July 2014

Kuih Cara manis

Alhamdulillah sedap kuih cara manis ni , favorite kami sekeluarga..


BAHAN-BAHAN :

2 cawan tepung gandum
3 cawan santan
2 biji telur
3 helai daun pandan
Sedikit pewarna hijau
secubit garam

BAHAN INTI KUIH :

Gula secukupnya

CARA MEMASAK :


~ Panaskan acuan khas utk kuih cara diatas dapur . Daun pandan di blander dengan santan, tapis.



~ Kemudian campur dan masukkan semua gandum, telur & garam , santan ke dalam blender dan kisar semua bahan sehingga sebati . Tapis utk memastikan adunan tidak berketul .

~ Bila adunan siap masukkan ke dalam acuan yang telah dipanaskan , perlu disapu sedikit minyak dahulu supaya mudah ditanggalkan nanti.

~ Isikan gula ditengahnya. Tutup acuan dgn tudung periuk,tunggulah hingga masak. Gunakan api yg perlahan supaya kuih tu tak mudah hangit bawahnya.

~ Angkat dan boleh lah diletak bercantum sepasang-sepasang .


Saya suka guna acuan bentuk buah cermai sebab bentuk kuih cara akan jadi sangat comel .


Alhamdulillah sedap kuih cara ni..

Tuesday 1 July 2014

Tumis sos tiram sayur bok choy

Sayur bak choy ni memang sangat sedap di masak tumis stir fry dengan sos tiram . Sayur ni tak perlu di masak terlalu lama supaya sayur kekal ranggup . Sayur bak choy ni akan mengeluar kan air/cecair bila di goreng stir fry jadi hanya perlu tambah sikit saja air untuk kuah . Saya guna udang kertas kecil yang manis , boleh juga di ganti bahan lain seperti fish ball , daging dan ayam . Cara masak yang sangat ringkas tapi sangat sedap .


BAHAN-BAHAN :

2 ikat sayur bok choy
1 genggam udang kertas kecil
2 ulas bawang putih
3 sudu besar sos tiram - boleh tambah
1/2 sudu kecil minyak bijan
sedikit air - jika perlu 
garam secukupnya - jika perlu

CARA MEMASAK:

1) Bersihkan sayur bok choy dan dipotong , ketepikan dulu . Bersihkan udang dan racik halus semua bawang putih  . 

2) Sayur ni di masak cara stir fry jadi kuali mesti betul betul panas dan masak dgn pantas . Panaskan minyak secukupnya dan tumis bawang sampai wangi kemudian masukkan semua udang serta biar kan sampai udang masak . Masukkan sayur bok choy , sos tiram , minyak bijan serta dikacau semua bahan . Jika sayur nampak kering masukkan sedikit air kemudian kacau semua bahan , jika kurang masin baru ditambah garam . Tambah dan kurang bahan mengikut selera sendiri . Bila sayur dah masak boleh terus ditutup api dan dihidang . Jangan masak terlalu lama nanti sayur jadi terlalu masak serta jadi lembik . 

Tom yam kuah jernih

Alhamdulillah..


BAHAN A:

3 ketul dada ayam
1 peket cendawan
2 biji buah tomato ranum
10 biji cili api - dititik
1 biji bawang besar
jus limau nipis- secukupnya
2 inci lengkuas
1 biji bawang putih
3 batang serai- dititik
6 helai daun limau purut
1-2 pokok daun ketumbar
air secukupnya
Sos nampla secukup rasa
1 sudu kecil gula

*Semua bahan boleh ditambah ikut citarasa sendiri macam pedas , masam dan masin . Kalau nak lebih kuah tambah la air lagi.

CARA MEMASAK :

1) Bersihkan ayam dan potong kecil kemudiam kupas semua bawang , lengkus dan di racik nipis . Masukkan air dalam periuk bersama semua bawang , lengkuas , daun limau purut , serai , cili api dan biar sampai kuah mendidih .

2) Masukkan semua ayam dulu dan kacau bila ayam dan masak baru la last sekali masukkan cendawan dan buah tomato yg di pototng empat , kacau sekejap sampai cendawan masak dan boleh la dimasukkan daun ketumbar yg diracik nipis serta ditutup api dapur .

Tumis pucuk keledek

Ahad lepas saya ke pasar tani dan beli pucuk keledek ni . Sedap sayur pucuk keledek ni di masak tumis dengan udang kertas yang kecil . Rasa pucuk keledek ni macam kangkung tapi lebih lemak dan lembut , alhamdulillah .


BAHAN-BAHAN:

Seikat sayur pucuk keledek
1 genggam udang kertas kecil
sedikit air - secukupnya
Garam secukup rasa
sedikit minyak utk menumis

BAHAN DITUMBUK LUMAT:


1 biji bawang merah
1 biji bawang putih

CARA MEMASAK:

Bersihkan dan pucuk keledek di dalam takungan air untuk membersihkan pasir yang terlekat pada daun dan batang pucuk keledek. Potong sayur ikut pada citarasa sendiri . Bersihkan udang kertas kecil dan tos serta ketepikan dulu .

Tumis bahan tumbuk sampai naik wangi dan masukkan semua udang , kacau dan biar sampai udang masak . Kemudian masukkan sayur keledek , garam secukup rasa dan kacau semua bahan jika kurang kuah boleh ditambah sedikit air . Kacau semua bahan dan biarkan sampai sayur masak , boleh la ditutup api dapur dan dihidangkan .

Pucuk sayur keledek